TF MbusiNess - шаблон joomla Продвижение

Tajuk

Polis Bantuan Sarawak Berdisiplin Tinggi

September 24, 2016, Saturday

Oleh Rusnan Mustafa

Capaian daripada http://www.theborneopost.com/2016/09/24/polis-bantuan-sarawak-berdisiplin-tinggi/ pada 27/10/2016

 

KUCHING: Sarawak masih bersih daripada masalah kes disiplin melibatkan anggota polis bantuan, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak SAC Che Yussof Che Ngah.

Beliau mendedahkan, sehingga kini tiada rekod masalah pelanggaran disiplin dilapor melibatkan anggota dari polis bantuan yang telah menerima latihan di Pulapol di sini. “Setakat ini, kita tidak ada rekod salah laku kerana mereka berdisiplin tinggi, jika bersalah mereka tertakhluk kepada undang-undang. Sarawak tidak ada kes dan bersih,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan upacara perbarisan tamat latihan kursus asas Polis Bantuan Siri 1/2016 di Padang Kawad, Kompleks Pentadbiran Pulapol Kuching, Puncak Borneo dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Yussof memberitahu pihaknya mengalu-alukan permohonan daripada agensi kerajaan dan swasta yang ingin menubuhkan polis bantuan. Malah, beliau memberitahu berdasarkan perangkaan terkini menunjukkan terdapat 212 agensi yang telah diluluskan penubuhan polis bantuan dengan jumlah 54,213 perjawatan.

 

“Jumlah kekuatan daripada perjawatan tersebut adalah seramai 27,155 dan ini bermakna masih terdapat 27,058 kekosongan lagi perjawatan yang perlu diisi bagi memenuhi matlamat dan tujuan permohonan serta penubuhan polis bantuan diperingkatkan selaras dengan tuntutan semasa,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau menasihati anggota polis bantuan untuk mengelak daripada terjebak dengan gejala negatif yang menyalahi undang-undang. Tegasnya, kesilapan dan kecuaian itu akan mengundang padah kepada diri sendiri selain mencemarkan imej agensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Justeru, kita berharap anggota polis bantuan ini dapat menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat jenayah di kawasan setempat untuk diambil tindakan,” ujarnya. Perbarisan tamat latihan semalam dianggotai 208 peserta yang terdiri daripada seorang pegawai kanan dan 207 anggota lain-lain pangkat dari 17 agensi polis bantuan kerajaan dan swasta. Pada majlis itu juga, Yussof menyampaikan hadiah kepada tiga pelatih terbaik, Inspektor Hu Ling Khang (akademik), Hilary Joseph Laek (latihan luar) dan Mohd Fazli Maula Ma’lem. Hadir sama Timbalan Komandan Latihan Pulapol Kuching Superintenden Munsang Sabai dan tetamu kehormat lain.

May 21 2017

Simposium Polis Bantuan Zon Sabah

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 12:48 | Ditulis oleh ANUAR BIN ABDUL KADIR

 

RABU, 26 OGOS - Seramai 159 peserta menyertai Simposium Polis Bantuan Zon Sabah yang berakhir hari ini di Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Daripada jumlah tersebut, 34 peserta merupakan Polis Bantuan UMS, manakala selebihnya ialah Polis Bantuan daripada agensi-agensi lain seperti Bank Simpanan Nasional, Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah, Petronas dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

 

Penutupan simposium anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Kordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Saiful Azly Hj. Kamaruddin, mewakili Pengarahnya Komissioner Polis (CP) Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

 

Dato’Acryl dalam ucapan yang dibacakan Saiful menyeru agar segala pengetahuan yang diperoleh selama dua hari simposium itu berlangsung dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dipraktikkan apabila kembali ke agensi masing-masing.

 

“Apabila kembali ke agensi tempat anda bekerja, kongsikan kepada rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan hadir agar ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan untuk kebaikan bersama,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan, penganjuran simposium itu sebagai platform meningkatkan integriti di samping memberi peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

 

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) merangkap Komandan Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

May 21 2017