TF MbusiNess - шаблон joomla Продвижение

Tajuk

KATA ALUAN PRESIDEN PERSATUAN POLIS BANTUAN MALAYSIA

 

Assallammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah serta syabas di atas pelancaran Portal Rasmi Persatuan Polis Bantuan Malaysia.  Saya berasa amat gembira dan berbangga di atas usaha dan komitmen yang amat tinggi dari Ahli Majlis Pentadbir sehingga wujudnya portal ini bagi mengaplikasikan kemajuan teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat pada hari ini.  Ucapan jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Unit Polis Bantuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di atas bantuan khusus yang diberikan sehingga portal ini dapat dibangunkan dengan jayanya.

Dengan adanya kemudahan teknologi yang telah diaplikasikan diruang portal ini, Saya percaya segala maklumat dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Persatuan Polis Bantuan Malaysia akan dapat kita berkongsi bersama dengan pihak-pihak luar dan masyarakat. Pada masa yang sama, saya percaya dengan pelancaran portal ini, segala maklumat, berita semasa, hal-ehwal dan aktiviti yang berkaitan dengan Persatuan Polis Bantuan Malaysia akan sentiasa dikemaskini dan dimanfaatkan sejajar dengan pengwujudan portal tersebut.

Portal ini juga akan dihubungkan dengan PDRM khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).  Usaha ini amat penting bagi membolehkan pihak JPJKK memberi pandangan dan maklumat yang tepat di atas apa jua isu yang diutarakan oleh ahli-ahli APA.

Saya juga berharap, portal ini akan terus berkembang dengan jayanya dalam meningkatkan komunikasi diantara ahli-ahli dan agensi-agensi Polis Bantuan yang bukan hanya dalam menyalurkan berita serta maklumat terkini malah memberi maklum balas disetiap pertanyaan dan komen yang diajukan kepada portal ini dengan penuh hemah.

Tindakan ini bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan baik di antara ahli-ahli dan pihak Persatuan dan juga dengan pihak luar serta masyarakat malah dapat menaikkan imej serta reputasi Persatuan Polis Bantuan Malaysia.

Oleh itu, bagi meningkatkan wibawa Persatuan Polis Bantuan Malaysia dan portal ini secara khususnya, portal ini telah dilancarkan pada Persidangan Polis Bantuan Malaysia (APAC) oleh Ketua Polis Negara (IG) Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar pada 9 & 10 Disember 2015 di Hotel Hatten Melaka.

Akhir kata, saya berharap agar portal ini dapat membantu mengembangkan lagi keahlian persatuan ini dan dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga kerja yang mengusahakan portal ini bagi membangun dan memajukan Persatuan Polis Bantuan Malaysia serta berdaya saing.

Sekian. Wassalam.

BAHARUDIN BIN OTHMAN

Presiden

Persatuan Polis Bantuan Malaysia