TF MbusiNess - шаблон joomla Продвижение

Tajuk

SYARAT DAN PROSES PENUBUHAN AGENSI

 

A.   Syarat-Syarat

  

 

1. Permohonan dibuka kepada agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta yang mempunyai premis dan operasi perniagaan di dalam Malaysia. 

2. Permohonan hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan yang tertentu. Senarai semak dokumen-dokumen sokongan yang perlu dimajukan boleh diperolehi daripada Pejabat JPJKK Bukit Aman.

 

B.   Proses Permohonan & Kelulusan

 

 

1. Agensi atau syarikat yang berminat untuk mendapatkan kuasa Polis Bantuan hendaklah memajukan permohonan dan dokumen-dokumen yang berkenaan (sepertimana senarai semak) kepada Pesuruhjaya / Ketua Polis negeri di mana ibu pejabat agensi atau syarikat berada melalui Pejabat JPJKK Kontingen negeri tersebut.

2. Pihak Pesuruhjaya / Ketua Polis negeri melalui JPJKK Kontingen akan membuat penilaian terhadap keperluan pihak agensi / syarikat untuk mewujudkan Unit Polis Bantuan. Pihak JPJKK akan memberikan cadangan kepada PJP/KP negeri untuk memajukan sokongan kepada Ketua Polis Negara untuk kelulusan. 

3. Pihak kontingen akan memajukan permohonan dan sokongan kepada pihak Ketua Polis Negara melalui JPJKK Bukit Aman. Pihak JPJKK akan meneliti dan mengkaji permohonan agensi / syarikat dan sokongan pihak kontingen sebelum memajukan kepada pihak Ketua Polis Negara untuk kelulusan.

4. Pihak kontingen atau JPJKK Bukit Aman akan memaklumkan keputusan permohonan kepada pihak agensi / syarikat.

 

 

 

PERMOHONAN KUASA-KUASA POLIS BANTUAN

  

 

Jabatan-jabatan Kerajaan, Badan-badan Berkanun atau Sektor Swasta yang ingin mendapat kuasa Polis Bantuan untuk pekerja-pekerjanya yang berkhidmat dalam kawasan-kawasan tertentu, perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Negara melalui Pesuruhjaya Polis / Ketua Polis negeri yang berkenaan. Pesuruhjaya Polis / Ketua Polis negeri pula kemudiannya akan mengemukakan permohonan tersebut bersama-sama dengan sokongan kepada Ketua Polis Negara melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM.

Pihak JPJKK akan membuat tinjauan khas ke kawasan pemohon untuk mengenal pasti keperluan sebenar kuasa polis yang dipohon sekiranya diperlukan, seterusnya mengemukakan laporan dan permohonan tersebut kepada Ketua Polis Negara atau mana-mana Pegawai Kanan Polis yang diberi kuasa olehnya untuk meluluskan atau memberi bantahan bagi permohonan tersebut.

Rujukan bagi proses permohonan kuasa Polis Bantuan boleh dirujuk dengan klik di Carta Aliran Permohonan Kuasa Polis Bantuan. 

 

 

KUASA DAN TUGAS 

 

 

Seseorang anggota Polis Bantuan apabila menjalankan tugas-tugas polis dalam kawasan-kawasan yang ditetapkan mempunyai kuasa yang sama dan tertakluk kepada pihak berkuasa yang sama seperti seseorang pegawai polis yang setaraf pangkatnya.

Anggota Polis Bantuan selain daripada menjalankan tugasan seperimana yang diarahkan oleh majikan di dalam kawasannya, beliau juga boleh ditugaskan dalam kawasan majikannya bagi tugas-tugas polis seperti berikut:-

 

  1. Rondaan, bit dan kawalan statik

  2. Kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan

  3. Melindungi dan mengiring harta majikan

  4. Mencegah kesalahan-kesalahan jenayah

  5. Mengesan dan menangkap pesalah-pesalah

 

Kuasa-kuasa yang dinyatakan di atas boleh dipanjangkan di luar dari kawasan yang ditetapkan dengan arahan bertulis daripada majikan untuk menjalankan tugas-tugas rasmi.

 

 

PENGAMBILAN

 

 

Pengambilan dan pemilihan seorang anggota Polis Bantuan adalah dijalankan oleh agensi-agensi mengikut keperluan dan kekosongan jawatan di agensi masing-masing.

Pihak agensi boleh memohon bantuan pihak PDRM dalam proses, tatacara dan pengambilan calon-calon yang layak untuk diambil bekerja sebagai seorang anggota atau pegawai Polis Bantuan. Calon-calon Polis Bantuan diwajibkan melepasi tapisan keselamatan oleh Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah.

Pihak agensi yang berminat untuk memohon kuasa Polis Bantuan boleh merujuk kepada pihak Persatuan Polis Bantuan Malaysia atau berurusan terus dengan pihak JPJKK negeri di mana Ibu Pejabat agensi berada.

 

 

GAJI DAN ELAUN

 

 

Gaji dan elaun pegawai dan anggota PB dibayar oleh majikan masing-masing mengikut skim perkhidmatan syarikat / agensi masing-masing.

 

 

 

LATIHAN

 

 

Pasukan Polis Diraja Malaysia adalah bertanggungjawab memberi latihan asas polis terhadap anggota-anggota Polis Bantuan melalui program Kursus Asas Latihan Polis Bantuan (KAPB) yang dijalankan selama 9 minggu di Pusat Latihan Polis (POLAPOL) yang terpilih. Walau bagaimanapun, perbelanjaan untuk tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan peralatan-peralatan lain yang diperlukan semasa latihan tersebut adalah ditanggung oleh majikan masing-masing. Silibus KAPB adalah disediakan oleh Bahagian Latihan Bukit Aman dan dikaji keberkesanannya dari semasa ke semasa. Perkara-perkara yang diajar adalah berfokus kepada pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya diketahui oleh pegawai Polis Bantuan sebagai seorang pegawai polis. 

Agensi-agensi Polis Bantuan adalah dikehendaki menyediakan segala latihan-latihan asas tambahan berkaitan bidang tugas khusus dan sebarang latihan selanjutnya untuk anggota-anggota Polis Bantuan. Pihak agensi juga boleh menghubungi pihak Persatuan Polis Bantuan Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan latihan-latihan yang sesuai untuk pegawai dan anggota Polis Bantuan. Agensi juga boleh menyertai program-program latihan yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Polis Bantuan Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program latihan yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Polis Bantuan Malaysia adalah sepertimana di halaman Program Latihan. 

 

 

KENAIKAN PANGKAT

 

 

Proses kenaikan pangkat seseorang pegawai dan anggota Polis Bantuan adalah diuruskan oleh majikan masing-masing di atas pertimbangan dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak majikan.

 


PENGGUNAAN SENJATAPI

 

 

Semua pegawai dan konstabel Polis Bantuan yang telah dilantik secara sah, boleh membawa dan menggunakan senjatapi yang dilesenkan di atas nama majikannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarahkan oleh majikannya di dalam kawasan yang ditetapkan.

 

 

PENGGUNAAN GARI & BATON

 

 

Semua pegawai dan konstabel Polis Bantuan yang telah dilantik secara sah, boleh membawa dan menggunakan gari dan baton semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarahkan oleh majikannya di dalam kawasan yang ditetapkan.

 

PEMAKAIAN PINGAT PERKHIDMATAN

 

 

  • Pegawai dan anggota Polis Bantuan layak menerima dan memakai pingat-pingat perkhidmatan seperti Pingat Perkhidmatan Am (PPA) dan Pingat Kebaktian (PK).

  • Pingat Perkhidmatan Awam (PPA) dipakai pada pakaian seragam Polis Bantuan sepertimana arahan yang dikeluarkan oleh pihak PDRM di dalam PTKPN Bahagian A 501. Contoh Pingat Perkhidmatan Awam (PPA)  .

  • Pingat Kebaktian (PK) layak dipakai apabila seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan telah berkhidmat di dalam sesuatu agensi selama satu jangkamasa yang ditetapkan oleh pihak PDRM. Contoh Pingat Kebaktian (PK) .